Thursday, November 28, 2013

#copypaste : Menyambut Kelahiran Bayi Menurut Islam

Keriangan sebagai ibu bapa apatah lagi beragama Islam ketika menerima kelahiran anak patut diiringi dengan ucapan kesyukuran kepada Yang Maha Kuasa.

Islam sebagai agama yang menggariskan panduan hidup yang sempurna patut dijadikan pedoman kepada semua penganutnya. Adab-adab menyambut kelahiran bayi seharusnya menjadi amalan kepada semua ibu bapa yang menerima kelahiran zuriat. Menurut Ustaz Abu Hasan Al Ash’ari Zakaria, Konsultan Umrah Akademi Mutawwif Trainning and Consultancy, terdapat beberapa panduan yang patut dilakukan oleh ibu bapa sebaik anak yang dikandung selamat lahir ke dunia.

Sebelum itu, Ustaz Abu Hasan yang juga berpengalaman sebagai penceramah di stesyen radio dan televisyen ini menyuruh pasangan suami isteri dan keluarganya mengamalkan bacaan doa Nabi Yunus, Surah Al-Anbiaq ayat 87 supaya mudah bersalin.

Antara adab-adab yang disunatkan dalam Islam adalah seperti berikut :

1. Melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Suami boleh lakukan di mana sahaja dia berada ketika itu. Ia elok dilakukan sebaik sahaja anak keluar daripada rahim ibu. Perbanyakkan bacaan zikrullah (tasbih, takbir dan tahmid).

2. Mengikut hadis sahih daripada Abu Daud dan Tarmizi, sunat untuk diazankan di telinga bayi sebab ia dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika cucu baginda, Hassan lahir. Imam Ibnu Qayyium memberitahu azan dilakukan supaya kalimat seruan tentang kebesaran Allah menjadi seruan pertama yang didengar oleh bayi.

Sementara Sheikh Muhammad Ali Qutub pula menyamakan seruan azan/iqamat seperti bacaan talqin. Kelahiran bayi bermaksud bayi berpindah dari alam rahim ke alam dunia, seruan azan mengingatkan bayi tentang tanggungjawabnya di dunia. Sebab itu bayi menangis ketika baru lahir ke dunia.

3. Memohon doa keselamatan untuk anak supaya dijauhkan daripada gangguan syaitan. Apa-apa sahaja doa yang diketahui oleh ibu bapa boleh dibacakan. Nabi Muhammad s.a.w juga melakukan amalan ini apabila cucundanya lahir. Amalan ini disebut dalam hadis sahih dari Bukhari. Ustaz Abu Hasan mengingatkan ibu bapa agar jangan sekali-kali melakukan amalan meletakkan gunting, paku dan sebagainya lagi di bawah bantal bayi bertujuan menghalau syaitan atau sebarang gangguan iblis. Ia boleh jatuh syirik kerana ia perbuatan yang khurafat.

4. Sunat memberi ucapan tahniah kepada ibu bapa yang baharu sahaja mendapat anak. Ia ada disebut dalam kitab Imam An-Nawawi. Tujuannya untuk menghulurkan rasa kegembiraan kepada seluruh ahli keluarga yang memperoleh cahaya mata baharu selain mengeratkan kemesraan dan ikatan silaturrahim di antara mereka. Disarankan mereka yang berkunjung melawat bayi turut menghulurkan buah tangan seperti hadiah, wang dan sebagainya kepada ibu bapa tersebut.

5. Tanam uri dengan segera kerana ia adalah benda kotor dan najis. Menurut Ustaz Abu Hasan, uri tersebut tidak perlu dibersihkan seperti dilakukan sesetengah masyarat yang membersihkan uri dengan garam dan asam gelugor. Sebaiknya bungkus terus dan segera ditanam. Elok ditanam di tanah yang keras dengan mencangkul dalam tanah untuk mengelakkan daripada dikorek dan dimakan binatang. Selain itu dia juga mengingatkan ibu bapa agar jangan percaya kepada amalan sesat yang menanam uri bersama objek lain kerana percaya memberi nasib yang baik kepada bayi. Amalan itu boleh merosakkan akidah.

6. Sunat menamakan anak yang baharu lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak. Nabi menyuruh ibu bapa memberi nama anak pada hari ke-7 atau secepat yang boleh.

7. Sunat melakukkan tahnik atau belah mulut bayi baharu lahir. Tahnik ialah mengunyah buah kurma dan diletakkan sedikit rasanya di dalam mulut bayi. Tahnik bertujuan memohon kepada Allah SWT supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya daripada menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya”.

8. Sunat membuat aqiqah yang bermaksud penyembelihan binatang ternakan seperti kambing,lembu,kerbau atau unta dan lebih afdal dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Hadis Abu Daud ada menyebut aqiqah dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT supaya mendekatkan anak kepada Allah. Daging sembelihan hendaklah disedekahkan kepada orang sekeliling supaya mereka tahu tentang kelahiran anak anda. Tetapi jika ibu bapa tidak mampu melakukan aqiqah tersebut dalam masa terdekat, ia boleh dilakukan sebelum aqil baligh si anak. Sunah Rasulullah menyuruh aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.

9. Mencukur jambul atau rambut anak yang baharu lahir. Menggunting sedikit rambut bayi pada hari ke tujuh adalah sunat. Ini sebagai tanda permulaan kehidupan anak kecil sebagai manusia dan hamba di sisi Allah selain menggalakkan pertumbuhan rambut baharu yang lebih sihat. Selalunya majlis kenduri diadakan untuk menyambut kelahiran bayi. Sesiapa sahaja boleh menggunting rambut baik tetapi lebih baik jika dilakukan orang yang soleh dan keluarga terdekat. Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak tidak dibenarkan kerana amalan ini diambil daripada budaya Hindu.

10. Mengkhatankan anak. Hadis daripada Al-Baihaqi menyebut Rasulullah bukan hanya menyembelih kambing tetapi turut mengkhatankan bayi baharu lahir pada hari ketujuh. Berkhatan bagi lelaki bertujuan untuk kebersihan, mencegah penyakit dan seksual. Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan satu kewajiban bagi lelaki. Bagi perempuan tidak perlu sebab Imam Syaukawi sebut tidak ada dalil yang sahih tentang wajib berkhatan bagi perempuan.

Wednesday, November 6, 2013

Tidurku Tak Lena

Pabila dah genap usia kandunganku 7 bulan....bermacam-macam dugaan ku tempuhi. Antaranya TIDUR! arghhh...sangatlah stress bila tidur tidak selena dulu...sekarang ni jangan katakan nak bermimpi, nak keluarkan air liur basi pun belum tentu. Tapi memandangkan anak didalam rahimku sedang membesar...segala dugaan dan cabaran ku tempuhi dengan tabah.

So bila tak dapat nak tidur lena, jari-jemari  ni pun dengan gatalnya dok godek-godek internet. Sebenarnya memang dah tahu sejak dari azali lagi, pabila ibu mengandung memang banyak ragam. Dari banyak-banyak website yang mas baca, satu artikel ni sesuai. Jadi dengan erti kata lain, mas pun nak kongsikanlah dengan ibu-ibu diluar (terutama sekali yang pertama kali hamil).

#copypaste Posisi Tidur Pa&Ma


****************************************************


Di awal usia kehamilan, anda berupaya untuk tidur nyenyak. Walau bagaimanapun, apabila kandungan semakin membesar, tidur lena mula terganggu. Ikuti hasil selidikan Pa&Ma tentang posisi tidur terbaik.
Ketika perut belum lagi membesar di trimester awal kehamilan, anda dapat tidur tanpa gangguan. Malah posisi tidur pun dapat dipelbagaikan tanpa banyak halangan. Namun, apabila bayi yang dikandung semakin membesar dari sehari ke sehari, maka saat itulah tidur terganggu dek kerana saiz perut, pergerakan bayi mahupun masalah kekejangan kaki.
Setakat ini belum ada penyelidikan lebih lanjut yang dilakukan berkaitan posisi tidur untuk wanita hamil. Walau bagaimanapun, pakar perubatan sangat menggalakkan anda untuk tidur secara mengiring terutamanya selepas minggu ke-16 kehamilan.
Dalam pada itu, sebaik-baiknya mengiring ke sisi kiri kerana posisi sebegini memastikan bayi mendapat aliran darah yang lebih lancar. Ia disebabkan inferior vena cava di bahagian belakang sebelah kanan tulang belakang mengembalikan darah dari tubuh bahagian bawah ke jantung. Dengan mengiring ke kiri, ia turut membantu buah pinggang menjalankan aktiviti perkumuhan dengan baik lalu mengurangkan masalah pembengkakan di bahagian kaki, pergelangan kaki dan tangan.
Tidur dengan posisi mengiring ke kanan juga baik. Jadi, anda boleh mengubah posisi ke kanan dan ke kiri agar tidur lebih selesa. Bagi yang kekok untuk tidur dalam posisi sebegini, ada baiknya mula membiasakan diri sejak di awal kehamilan lagi. Bagi mendapatkan tidur dengan posisi mengiring yang lebih selesa, anda boleh meletakkan bantal di antara paha dan di punggung. Anda juga boleh menggunakan bantal tidur yang disediakan khusus untuk ibu hamil.
Selepas hamil 16 minggu, anda tidak lagi digalakkan untuk tidur secara menelentang. Hal ini disebabkan anda akan meletakkan seluruh berat rahim ke bahagian belakang, usus dan iinferior vena cava. Tidur dalam keadaan posisi terlentang juga akan meningkatkan risiko sakit pinggang, buasir, menjejas sistem pencernaan, menyukarkan pernafasan dan mengganggu peredaran darah.
Selain itu, ia turut mempengaruhi tekanan darah. Ada segelintirnya mengalami penurunan tekanan darah hingga menyebabkan masalah pening kepala. Tidak kurang, ada juga yang mengalami peningkatan tekanan darah. Oleh kerana itu, jika anda mempunyai tekanan darah tinggi ketika hamil, posisi ini sama sekali tidak boleh dipraktikkan.
Bagi yang tiada komplikasi pula, anda masih boleh sekali-sekala tidur terlentang, tetapi jangan terlalu lama. Jika ingin bangun dari tidur secara terlentang pula, dinasihatkan agar tidak melakukannya secara mendadak.

12 Panduan Atasi Masalah Tidur

1. Posisi tidur mengiring ke kiri
Memandangkan posisi tidur terbaik yang disyorkan sepanjang hamil ialah tidur mengiring ke kiri maka, usahakan untuk tidur dalam posisi ini setiap malam.
2. Mandi air suam
Sebelum tidur, mandi dengan air suam. Rasa segar yang bangkit akan memudahkan anda lena.
3. Elak makan terlalu banyak sebelum tidur
Anda mungkin kerap berasa lapar walaupun ketika sudah tiba masa untuk tidur. Untuk itu, hindari daripada makan terlalu banyak. Alternatifnya, anda boleh mengambil makanan ringan yang lebih berkhasiat.
4. Minum Susu Suam
Kandungan asid amino tryptophan di dalam susu yang meningkatkan kadar serotonin ke dalam otak akan membantu anda untuk tidur nyenyak.
5. Amalan Tarik Nafas
Latihan menarik nafas yang teratur dapat membantu mengurangkan ketegangan otot sekali gus membantu anda untuk tidur lebih baik. Dalam keadaan duduk, berdiri atau berbaring, tarik nafas melalui hidung secara perlahan dan tahan nafas selama satu hingga dua saat. Kemudian hembus dan keluarkan nafas melalui mulut secara perlahan-lahan. Lakukannya dalam ulangan 10 kali.
6. Bersenam
Senaman yang dilakukan secara teratur dapat mengurangkan masalah kekejangan kaki. Namun, adalah tidak digalakkan untuk anda bersenam beberapa jam sebelum tidur kerana endorfin dan adrenalin yang dirembeskan akan membuat mata anda kekal berjaga.
7. Bantal Yang Menyangga
Sangga perut mahupun pinggang dengan bantal bersesuaian. Ia akan membantu menyelaras pinggul dan tulang belakang untuk mendapatkan keselesaan berpanjangan ketika tidur.
8. Suhu Bilik
Sensasi panas yang kerap dialami di penghujung kehamilan sedikit sebanyak mengganggu tidur. Jadi, pastikan suhu bilik anda sentiasa nyaman. Jika tidak menggunakan penghawa dingin, pasti aliran udara di dalam bilik sentiasa lancar agar tidak menimbulkan kepanasan melampau.
9. Katil Yang Selesa
Keadaan katil yang selesa tentu sahaja dapat menimbulkan keselesaan kepada anda yang mula mengalami masalah tidur terutamanya di penghujung usia kehamilan. Pastikan tilam yang digunakan berkualiti baik dan memberi sokongan yang baik kepada tulang belakang. Sekurang-kurangnya ia membantu anda tidur dengan lena tanpa perlu risau dengan komplikasi lain yang timbul akibat penggunaan katil yang kurang baik.
10. Rutin Tidur
Biasakan diri untuk melakukan rutin menenangkan setiap kali sebelum tidur. Sebagai contoh, mandi menggunakan air suam diikuti mendandan diri dengan menyapu pelembap di bahagian tubuh yang bermasalah kering ketika hamil ini dan selanjutnya membaca bahan bacaan ringan sebelum melelapkan mata. Dengan yang demikian, minda akan diselaraskan untuk mengetahui rutin ini merupakan petunjuk bahawa sudah tiba masanya untuk tidur.
11. Pakaian Tidur
Baju tidur yang disarungkan turut memainkan peranan penting. Oleh yang demikian, pakai baju tidur yang mampu menyerap peluh dengan baik. Hal ini kerana pakaian yang tidak bersesuaian mungkin akan menyebabkan sensasi panas yang biasa dialami di akhir trimester kehamilan mengganggu tidur anda.
12. Suasana Bilik Tidur
Keadaan bilik yang tenang dan nyaman pasti mengundang mood anda yang keletihan seharian untuk tidur dengan nyenyak. Anda boleh mewujudkan suasana sebegini dengan memastikan bilik sentiasa berkeadaan kemas, menggunakan lampu malap selain menyembur wangian atau minyak aromaterapi yang mampu meninggalkan aroma segar sepanjang anda tidur.

Saturday, November 2, 2013

TRIMISTER KETIGA (minggu ke 29- 40)


Minggu ke-29. Postur kita akan kelihatan lebih besar pada bahagian hadapan. Pada masa ini kulit bayi dalam kandungan semakin merah. Namun ia kelihatan agak berkedut sedikit dan lelemak sudah mula terkumpul pada bahagian bawah kulit. Kelopak matanya juga telah terbuka dan sistem pendengaran telah terbentuk dengan sempurna.

Seterusnya minggu ke-30. Perlu banyak berehat. Jika  tidak bekerja, pastikan mendapat rehat yang cukup pada hari siang. Pada waktu malamnya pula, pastikan tidur awal dan dapat tidur dengan selesa. Tips tidur - angkat sedikit kaki dan letakkan beberapa biji bantal di bawahnya. Jadi minggu-minggu terakhir ini kita secara rumusannya perlukan rehat yang cukup dan selesa.

Memasuki minggu ke-31. Bagi sesetengah wanita hamil akan mendapati tanda kesan regangan merah pada perutnya. Manakala pada payu daranya pula akan kelihatan salur darah yang agak jelas timbul. Ketika ini kedudukan kepala bayi masih berada di bawah. Panjang badannya kini boleh mencecah 37 cm dengan berat 900 g.


Minggu ke-32 pula, bayi kita telah mengalami pertambahan berat badan. Ia mencapai 1.6 kg. Secara normal kedudukan kepala bayi masih berada di bawah. Menyentuh soal hubungan suami isteri pula, sesetengah wanita hamil akan berasa bimbang apabila melakukan persetubuhan kerana takut ia mencederakan bayi yang dikandung. Sebenarnya,  tidak perlu risau untuk melakukan hubungan seks ketika ini kerana ia tidak akan mencederakan bayi.

Minggu ke-33, bayi kita telah memiliki rupa parasnya yang tersendiri. Rupa inilah nanti yang bakal puan lihat apabila dia lahir kelak. Malah, bayi kita juga sudah boleh membezakan antara terang dengan gelap. Sebagai ibu, inilah masanya perlu mendapatkan seberapa bayak rehat yang boleh. Cubalah berbaring sebentar pada waktu tengahari kerana  mungkin penat ekoran membawa perut yang membesar.

Minggu ke-34, kedudukan bayi pada ketika ini telah betul-betul berada pada pintu rahim. Panjang bayi kira-kira 40.5 cm. Sekarang bayi  telah terbentuk dengan sempurna dan badannya juga sudah seimbang. Masa ini lemak semakin terkumpul dengan pesatnya di bawah kulit bayi. Jadi bayi kelihatan agak tembam.

Minggu ke-35 pula, akan berlaku perubahan pada diri. Kita akan merasai kesukaran untuk bernafas, membuang air kecil dengan lebih kerap dan seringkali tidak dapat mengawal air kencing apabila terbatuk, bersin, atau tertawa dengan kuat. Manakala garisan gelap yang mengarah ke bawah perut sudah menjadi lebih ketara dan menonjol. Kita perlu melakukan beberapa senaman termasuklah senaman pelvik untuk menguatkan rahim.

Bagi mereka yang bekerja, minggu ke-36 pula sewajarnya sudah mengambil cuti dan berehat di rumah. Perlu mengelakkan keletihan dan kelesuan. Senantiasa angkat kaki dan letakkan di atas bantal ataupun objek tinggi untuk mengelakkan urat timbul atau "varicose vein" dan bengkak kaki. Bayi pada masa ini sudah membesar dan saiznya memenuhi ruang uterus puan pada ketika ini dan akan berasa perut begitu penuh, sarat dan sukar untuk membuat sebarang pergerakan.


Bila sudah tiba minggu ke-37, kepala bayi mungkin sudah turun ke ruang pelvik. Bonjolan ketara pada perut akan semakin membesar. Bentuk bayi dalam kandungan juga semakin membulat dan kulitnya bertukar menjadi merah jambu. Rambutnya tumbuh dengan lebat dan bertambah sebanyak 5 cm. Kuku lembut telah terbentuk pada hujung jari tangan dan kaki.

Pada minggu ke-38,  tentu akan dapat merasa keadaan pundi kencing yang sedikit tertekan dan ini akan menyebabkan kita kerap mahu membuang air kencing.

Seterusnya bayi akan memasuki minggu ke-39, saat hampir bersalin minggu kedua terakhir sebelum bersalin. Perut kita sudah begitu besar dan berat. Buat masa ini kita perlu fokuskan fikiran kepada perkara-perkara positif dan bayangkan pemandangan indah. Kita perlu pastikan segala persediaan untuk melahirkan telah siap dikemas dan diletakkan di tempat yang muda diambil.

Minggu ke-40 adalah minggu terakhir dan memasuki minggu ini adalah saat yang ditunggu-tunggu. Kita akan merasa tidak selesa dan tegang pada bahagian abdomen dan akan merasa sedikit gatal. Kita juga akan mual, rasa kebas pada bahagian kaki. Bayi kita dalam kandungan kini telah bersedia untuk dilahirkan. Panjangnya sudah 51 cm dan beratnya telah menjangkau 3.4 kg. Jadi impian kita dan suami kini akan menjadi kenyataan dalam sedikit masa sahaja lagi.


#Semoga anak di dalam rahimku sihat, sempurna dan dilahirkan tepat pada masanya tanpa sebarang komplikasi...doakan semoga mas dapat melahirkan si kecil no2 ni dengan Normal... Amin. 

* Mama , Ayah dan Abang Nadzmy tidak sabar untuk berjumpa dengan kamu...