10/12/2013, Selasa
semalam ada sesi temujanji dengan Doktor Hospital Kuala Lumpur, so 7.40 pagi lagi dah ada dekat Klinik O&G. Macam biasalah prosedur nya macam kat klinik-klinik kerajaan yang lain. Daftar, cek urine, ambil tekanan dan berat. Selepas itu kenalah panggil dengan staff pratikal ni untuk "booking", selain dari tu bermacam2 soalan lah yang ditanya tentang sejarah kelahiran lama, pasal latarbelakang keluarga kita, belah suami kita dll. Dah soal jawab bagai, kena tunggu sesi scan plak, then lepas tu barulah p jumpa doktor.
Sebab musabab kena jumpa doktor ni, tak lain tak bukan pasal kes sejarah lampau kelahiran anak pertama mas. Al maklumlah bila dah pertama kali operate, orang kata comfirm anak kedua pun akan operate juga. Tapi ada juga setengah orang dapat melahirkan anak kedua secara normal. Semuanya bergantung kepada nasib. Wallahualam...
Jadi, dari perbualan dan perbincangan, doktor macam biasa akan bagi dua kaedah sama ada mas still nak operate atau cuba bersalin Normal... bila dah tanya mas, dah tentu-tentulah mas akan cakap NORMAL.. sebab yang pertama dulu pun bukan mas yang terhegeh-hegeh nak operate tapi disebabkan ingin menyelamatkan nyawa anak yang ku kandung selama 38 minggu tu. Harap-harap kali ni biarlah air ketubanku pecah sendiri, masa yang pertama dulu baru bukaan 4cm dah doktor pakar pecahkan air ketuban dengan alasan nak mempercepatkan bukaan dan laluan bayi. So, doktor ada terangkanlah risiko-risiko jika pilih operate atau normal. Peningkan doktor tu jika nak tunggu mas dok fikir lelama nak bersalin ikut kaedah mana (FINAL), pesakit ramai lagi kat luar tu..hehehe.. jadi buatlah temujanji di hari lain untuk dapatkan keputusan muktamad.
* kaedah kelahiran pertama mas dahulu*
masa ni mas dibius separuh badan sahaja, dan yang paling seronok dapat tengok secara "LIVE" melalui cermin lampu / lampu cermin dekat atas tu macam mana anak bujangku dikeluarkan..
tetapi kali ni untuk kelahiran kedua
SAYA NAK BERSALIN NORMAL, Doktor!!
Tapi bila balik tu, ada jugalah terlintas difikiran mas, susah2 macam ni Operate jelah... sebabnya mas dah pernah lalui detik macam ni kan.. tapi bagi mas, setiap wanita didunia ini semua nak lahirkan anaknya secara Normal. Kadang-kadang bila dah duduk sorang-sorang kepala otak dok rewang bercakap "tak sempurna jadi seorang wanita, isteri dan ibu jika aku tak boleh bersalin normal"... meroyan sekejap
Jadi balik je dari hospital tu, cepat-cepat buka internet dan cuba cari pengalaman dan sejarah pabila melahirkan anak kedua secara normal selepas operate. Dari segi pembacaan mas, normal atau operate tak penting , yang penting sekali adalah dari dalam diri kita sendiri, pembawakan kita, kecekalan kita dan ketabahan kita selepas mengharungi proses bersalin. InsyaAllah jika mental kita kuat, tidak mustahil kita boleh melahirkan anak secara normal. Semuanya atas kekuasaan Allah swt.
Apa yang penting sekarang, mas kena bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. InsyaAllah, kalau ikut pengiraan minggu depan dah genap 9 bulan (36 minggu), dan bila-bila masa sahaja si kecik ni akan keluar melihat dunia. Apa-apa pun doakan mas dan bayi dalam keadaan sihat dan selamat ye.
#copypaste dari majalah Pa&Ma berhubung dengan Kelahiran Normal selepas Caesarean
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Selepas melalui pembedahan caesarean di kelahiran
pertama, anda boleh berusaha untuk bersalin secara normal pula di kelahiran
akan datang.
Impian melahirkan bayi yang dikandung secara normal selepas pernah menjalani
pembedahan caesarean sememangnya menjadi matlamat kebanyakan para wanita hamil.
Sudah menjadi fitrah buat seseorang wanita itu untuk cuba melahirkan anaknya
menerusi faraj tanpa perlu melalui pembedahan yang sarat dengan pelbagai risiko
yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri mahupun bayi yang dikandung.
Yakinilah bahawa usaha anda untuk mencuba kelahiran normal selepas caesarean
atau lebih dikenali sebagai VBAC adalah lebih selamat dan kurang berisiko
berbanding pembedahan caesarean untuk sekian kalinya.
Malah, pada masa kini kebanyakan doktor mengesyorkan kelahiran normal selepas
pembedahan caesarean sekiranya beberapa aspek penting tertentu dipenuhi
terlebih dahulu. Oleh yang demikian, jika anda bercadang untuk berusaha ke arah
VBAC, dapatkan pandangan daripada doktor pakar yang memeriksa kehamilan anda
sebelum mengambil sebarang keputusan.
Lazimnya, masih selamat untuk anda menjalani VBAC jika pernah menjalani satu
pembedahan caesarean sebelum ini.
Walau bagaimanapun, VBAC tidak sama sekali disyorkan kepada anda yang pernah
menjalani dua atau lebih pembedahan caesarean. VBAC boleh dicuba sekiranya :
1. Anda hanya ada satu parut yang rendah dari sisi ke sisi daripada pembedahan
caesarean terdahulu.
2. Punca pembedahan terdahulu tidak berlaku dalam kehamilan terkini, Contohnya
seperti bayi besar, tekanan darah tinggi dan diabetes.
3. Tiada sebab untuk anda menjalani kelahiran secara caesarean sepanjang
kehamilan kali ini seperti komplikasi placenta praevia (uri bawah).
4. Pembedahan caesarean terdahulu bukan pembedahan klasikal.
5. Pelvis bersaiz normal.
Risiko
Untuk pengetahuan anda, wanita yang cuba untuk VBAC selepas pernah menjalani
caesarean berkemungkinan kecil akan mendapati parut pada rahimnya terbuka
semasa mengalami sakit kontraksi kelahiran. Komplikasi yang dikenali sebagai
pecah rahim ini boleh membahayakan nyawa anda dan bayi dalam kandungan juga.
Namun begitu, risiko untuk rahim pecah dengan VBAC kehamilan tunggal (kajian
tidak menunjukkan keputusan untuk kehamilan berganda) adalah hanya di antara
satu hingga dua peratus. Hal ini kerana risiko untuk parut terbuka dan
seterusnya menyebabkan rahim pecah adalah sangat rendah semasa VBAC sekiranya
anda hanya ada satu parut yang rendah. Pada masa yang sama proses kelahiran
tidak dimulakan dengan penggunaan ubat pencetus kontraksi.
Risiko sebegini lebih kerap terjadi pada pembedahan klasikal di mana hirisan
rahim dibuat secara menegak dan bukannya melintang seperti yang kerap dilakukan
oleh doktor pada zaman sekarang. Ketahuilah, rahim pecah sangat jarang berlaku
kerana hirisan secara menegak tidak lagi diamalkan.
Biar apa pun risikonya, VBAC hanya boleh dijalankan oleh hospital yang mampu
menjalankan pembedahan caesarean secara kecemasan. Untuk makluman, jika anda
telah mencuba untuk VBAC tetapi malangnya masih memerlukan pembedahan
caesarean, risiko menghadapi jangkitan adalah lebih tinggi berbanding daripada
terus menjalani caesarean.
Kebaikan VBAC
Sesungguhnya terdapat banyak kelebihannya jika anda memilih bersalin secara
normal.
1. Jalin Ikatan Dengan Bayi
Anda berupaya untuk menjalinkan hubungan dengan bayi baru lahir lebih awal. Ini
dapat dilakukan apabila anda boleh terus memegang bayi selepas melahirkannya
berbanding pembedahan caesarean. Anda juga boleh mula menyusukan bayi dengan
susu ibu sejurus selepas kelahiran. Menyusukan bayi selepas melahirkannya
secara normal lebih senang kerana anda tidak perlu menanggung kesakitan di bahagian
jahitan pembedahan.
2. Lebih Selamat
VBAC akan mengurangkan kemungkinan anda mendapat jangkitan dan kehilangan darah
yang serius atau mengalami komplikasi yang berkaitan dengan risiko pembedahan.
3. Pemulihan Yang Cepat
Jangka masa untuk anda tinggal di hospital adalah lebih singkat selepas VBAC.
Tempoh yang lebih pendek di hospital membolehkan anda menghabiskan lebih banyak
masa menjalani rutin penyembuhan di rumah. Dalam pada masa yang sama juga, anda
mampu untuk mengembalikan tenaga dan stamina dengan lebih cepat disebabkan
kurangnya kesakitan yang dialami selepas melahirkan.
4. Kurang Komplikasi
Dengan VBAC, anda dapat mencegah daripada berlakunya komplikasi tumpah darah
yang banyak, darah beku di kaki, jangkitan kuman pada usus dan pundi kencing.
5. Elakkan Pertambahan Parut
Pertambahan parut pada bahagian rahim kesan daripada pembedahan caesarean dapat
dihindari dengan VBAC. Aspek ini sangat penting bagi membolehkan anda merancang
untuk menambah bilangan anak. Hal ini kerana semakin banyak parut pada rahim,
semakin tinggi risiko untuk bersalin di kelahiran seterusnya.
6. Bayi Turut Mendapat Manfaat
Kelebihannya dapat dirasai oleh bayi apabila dia kurang risiko untuk dilahirkan
secara pramatang, kurang masalah pernafasan selepas lahir dan paling penting
kurang berisiko untuk menghadapi kematian.
7. Kurang Mahal
Prosedur VBAC adalah lebih murah berbanding pembedahan caesarean yang
terancang. Hal ini kerana kosnya jauh lebih murah.