Wednesday, June 5, 2013

Mabuk!

Pengenalan
Mabuk hamil adalah satu fenomena yang sangat biasa berlaku sekitar 70-80% kehamilan. Secara umumnya, ia adalah ringan dan tidak melarat. Majoriti wanita tidak memerlukan bantuan perubatan dan boleh dirawat dirumah.
Apa yang menyebabkan mabuk semasa kehamilan?
Punca sebenar wanita mabuk semasa hamil atau mengapa sesetengah wanita mempunyai gejala yang teruk masih tidak diketahui. Banyak kajian yang mengaitkannya dengan perubahan hormon yang berlaku diawal kehamilan. Adalah diperhatikan bahawa wanita yang muntah-muntah pada awal kehamilan didapati mempunyai paras estrogen yang lebih tinggi.
Wanita yang hamil kembar dua atau tiga biasanya mengalami mabuk yang lebih teruk, begitu juga dengan wanita yang mengalami ‘kehamilan anggur (molar pregnancy)’ iaitu sejenis kehamilan yang tidak normal. Adalah dianjurkan wanita yang mengalami ‘hyperemesis gravidarum’ gelaran yang diberi kepada wanita yang mengalami mabuk hamil yang sangat teruk, menjalani pemeriksaan ultrasound untuk memastikan tiada kehamilan kembar ataupun kehamilan anggur. Punca lain yang boleh menyebabkan mabuk hamil yang teruk adalah jangkitan saluran kencing, radang usus dan keracunan makanan.
Wanita dinasihatkan untuk berjumpa doktor sekiranya mereka mengalami muntah yang teruk dan tidak berupaya untuk mengambil makanan atau minuman yang mencukupi.
Berapa lamakah ia akan berpanjangan?
Rasa loya dan muntah lazimnya bermula sekitar 6 minggu kehamilan. Kebiasaanya ia berlaku pada waktu pagi, tetapi ianya boleh juga berlaku pada bila-bila masa siang atau malam. Lebih kurang 80% wanita akan berhenti mengalami gejala ini sekitar 12 minggu kehamilan, selebihnya beransur pulih sekitar 16 minggu kehamilan. Walau bagaimanapun ada juga segelintir wanita yang akan mengalami masalah ini sepanjang kehamilannya.
Kesan mabuk hamil keatas kandungan
Wanita yang mengalami loya dan muntah-muntah yang ringan diawal kehamilan tidak perlu risau kerana ianya tidak mendatangkan sebarang kesan buruk kepada diri mereka atau bayi dalam kandungan. Walau bagaimanapun, jika muntah menjadi lebih teruk dan wanita tersebut tidak mengambil makanan atau minuman seperti biasa, seseorang itu perlu mendapatkan rawatan di hospital.
Wanita yang mengalami mabuk hamil yang teruk boleh menjadi dehidrasi dan memerlukan rawatan cecair melalui saluran vena di hospital. Jika rawatan tidak diberi, ianya boleh mengakibatkan ketosis atau ‘metabolic acidosis’ dan ini mungkin boleh membahayakan bayi dalam kandungan atau ibu sendiri.
Mengalami mabuk hamil- Kenapa Saya?
Majoriti wanita akan mengalami mabuk hamil semasa awal kandungan dan hanya sebahagian kecil yang bernasib baik dan tidak mengalami masalah ini. Gejala ini mungkin teruk dikalangan sesetengah wanita. Antara faktor yang diketahui boleh mendedahkan seseorang kepada mabuk hamil yang teruk termasuk:
·         Mempunyai kandungan kembar atau lebih
·         Mempunyai sejarah mabuk hamil pada kandungan lalu
·         Mempunyai sejarah keluarga yang mengalami mabuk hamil
Pencetus mabuk semasa hamil
Ramai wanita menyedari bahawa keadaan tertentu, makanan atau bau boleh menyebabkan mereka mabuk. Antara pencetus yang biasa adalah:
·         Bauan atau wangian seperti minyak wangi, kopi, asap rokok
·         Bauan semasa memasak atau menggoreng
·         Berasa sangat letih
·         Perasaan gelisah atau risau

Tip untuk mengurangkan mabuk semasa hamil
Mabuk pagi boleh dikurangkan dengan mengubah diet seperti berikut:
·    Kerap makan dan minum , tetapi dalam kuantiti yang kecil, lebih kurang 5-6 hidangan kecil sehari adalah nasihat yang biasa diberi untuk memastikan air dan pemakanan yang mencukupi.
·       Makan semasa bangun tidur biasanya membantu contohnya apabila bangun dari tidur, makan beberapa keping biskut kraker dan rehat 15 minit sebelum bangun dari tempat tidur.
·         Terus makan sesuatu makanan apabila teringinkannya
·         Elakkan makan makanan berminyak, pedas atau bergoreng
·         Elakkan makan makanan yang boleh menyebabkan anda berasa loya
·    Elakkan minum air dengan banyak semasa makan atau sebaik sahaja sebelum atau selepas makan
·         Minum minuman diantara hidangan untuk mengurangkan muntah
·     Mengambil halia (teh, halwa dan kapsul) terbukti boleh mengurangkan rasa loya dan muntah semasa hamil.
Dapatkan rehat yang secukupnya, udara yang bersih dan sokongan keluarga yang mencukupi.
Vitamin tambahan
Mengambil multivitamin yang mengandungi piridoksin (vitamin B-6) semasa hamil boleh membantu mengurangkan rasa loya dan muntah yang teruk. Dos yang dicadangkan adalah 25-50 mg setiap lapan jam.
Jika anda mendapati vitamin tambahan yang dimakan seperti hematinik, menambahkan rasa loya, anda boleh memakannya pada waktu malam sebelum tidur. Jika ianya tidak membantu, berbincanglah dengan doktor untuk menukar bentuk vitamin. Vitamin dalam bentuk gel biasanya kurang memberi kesan loya.
Siapakah yang boleh membantu saya berkenaan mabuk hamil ini?
Mempunyai suami dan ahli keluarga yang memahami keadaan ini akan banyak membantu. Walau bagaimanapun, sekiranya gejala ini berkekalan dan susah untuk ditangani, anda harus mendapatkan nasihat dan kaunseling dari klinik yang berdekatan. Anda juga mungkin memerlukan ubat untuk membantu mengurangkan rasa loya dan muntah. Kadang-kadang doktor anda mungkin melakukan ujian darah dan air kencing untuk menilai tahap kesihatan anda.
Bilakah saya perlu mendapatkan rawatan perubatan?
Anda perlu mendapatkan rawatan jika:
·         Anda tidak berupaya untuk makan dan minum melebihi 24 jam
·         Jika muntah anda berlaku bersama
o    Demam
o    Cirit birit
o    Sakit perut
o    Sakit kepala
(sebab-sebab lain yang boleh menyebabkan muntah perlu diselidiki)

No comments: